- Ladang hendaklah jauh dari kawasan perkampongan.
- Jauh dari ladang unggas yang lain.
- Mempunyai hubungana jalanraya untuk kemudahan pengangkutan barang-barang input dan output.
- Tanah yang datar tetapi tidak mudah dinaiki air.
- Kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik.
Perumahan bagi penternakan puyuh penelur mementingkan keselesaan dari alam sekitar dan keselamatan dari pemangsa. Puyuh amat sensitif keatas kedua perkara tersebut. Dimensi bangsal terpulang kepada sais penternakan yang hendak dijalankan. Beberapa perkara harus dipatuhi untuk menjamin pengeluaran yang maksimum.
- Tentukan paksi panjang mengikut arah timur/barat. Ini menentukan cahaya matahari tidak banyak dapat memasuki bangsal yang boleh mengakibatkan kenaikan suhu didalam bangsal.
- Jarak antara bangsal hendaklah jangan kurang dari 15.38 meter untuk menjaga dari perebakan penyakit dari bangsal kebangsal.
- Tentukan kedudukan bangsal tidak dihalangi oleh pokok pokok besar atau bangunan yang boleh menghalang peredaran udara yang sempurna. Elakan kawasan yang lembab.
- Lebar bangsal dihadkan sehingga 12.3 meter sahaja.
- Panjang bangsal bergantung kepada kontour tanah dan sistem peralatan yang digunakan.
- Gunakan atap bangsal diperbuat dari aluminium.
- Tepi bangsal perlu ditutup dengan dawai atau setaraf untuk mencegah kemasukan burung atau pemangsa.
- Lantai bangsal mesti disimin untuk kebersihan dan kesenangan pengurusan.
- Peparitan sekeliling bangsal perlu ada untuk mengalirkan air dari hujan ke parit besar.
Sistem pemeliharaan diatas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada didalam satu bangsal. Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik. Sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas biasa digunakan oleh penternak tempatan. Anak puyuh diinduk didalam kotak perindukan dan kemudiannya dipindahkan ke kotak pembesaran yang biasanya bertingkat.
Peringkat Perindukan
Jika menjalankan sistem pemeliharaan diatas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada didalam satu bangsal. Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik.
Dalam sistem pemeliharaan diatas sampah sarap, anak puyuh dari umur 1 hingga 10 – 14 hari dipelihara dalam sistem kepungan menggunakan kadboard serta hoover ( alat pemanas ). Sebanyak 1000-1200 ekor anak puyuh penelur boleh ditempatkan dalam satu kepongan. Luas kawasan semasa perindukan adalah 30 sentimeter persegi/ekor hingga umur 10 hari bilamana kepongan akan dibuka dan anak puyuh dibesarkan diseluruh bangsal. Gas hoover yang digunakan digantung ditengah kepongan setinggi 91 sentimeter. Pemberian haba perlu dikawal mengikut kepanasan semasa. Sekeliling bangsal ditutup dengan bidai bagi mengelakkan kemasukan udara sejuk dari luar tanpa kawalan. Bekas minuman 8 liter untuk 200 ekor anak puyuh ditempatkan di dalam bulatan selama masa perindukan.. Dulang makanan berukuran 30.5 x 30.5 x 2.52 sentimeter digunakan untuk 200 ekor anak puyuh semasa perindukan. Sampah sarap adalah dari jenis ketaman kayu setebal 8 sentimeter digunakan. Makanan dan minuman diberi tanpa had.
Bagi pemeliharaan menggunakan kotak khas tentukan penempatan anak puyuh tidak bersesak. Kadar kematian yang tinggi sering berlaku semasa perindukan disebabkan kesesakan dan kesejukan. Gunakan keluasan lantai 167 sentimeter persegi untuk sekor puyuh sehingga berumur 5 minggu. Anak puyuh diindukkan didalamnya selama 10 – 14 hari. Lantai kotak hendaklah dialas dengan kertas kuat atau jenis ‘corrugated paper’. Ini adalah bagi mengelakkan anak puyuh jatuh ke tanah. Kotak kayu ditutup dengan plastik atau guni untuk menahan haba didalamnya. Pemberian haba adalah dari lampu pijar 100 watt yang digantung ditengah petak kotak tersebut. Setiap petak berukuran 1 meter persegi boleh memuatkan sehingga 100 ekor anak puyuh. Bangsal hendaklah ditutup semasa perindukan dengan ‘polyethelene sheets’. Peralatan makanan dan minuman adalah seperti dinyatakan diatas.
Peringkat Pembesaran
Didalam sistem pemeliharaan diatas sampah sarap, kepongan akan dibuka selepas anak puyuh berumur 10-14 hari dimana anak puyuh akan berada sepenuhnya didalam satu bangsal sehingga dijual. Selepas perindukan bekas minuman otomatik digunakan untuk menampong 200 ekor puyuh setiap satu dan bekas makanan gantung digunakan untuk 100 ekor puyuh setiap satu. Makanan perlu diberikan sentiasa tanpa had untuk menentukan pembesaran yang cepat. Tentukan air yang bersih diberikan. Elakan dari gangguan luar semasa pembesaran puyuh ini. Masa tamat pemeliharaan adalah apabila umur puyuh mencapai 35 hari. Puyuh akan ditangkap dan dihantar ke bangsal pengeluaran. Puyuh mencapai umur kematangan seksual ( mengeluarkan telur ) pada umur 42 hari.
Bagi sistem pemeliharaan didalam kotak kayu khas, selesai sahaja tempoh perindukan, plastik penutup atau guni hendaklah dibuka. Begitu juga dengan kepongan di bangsal. Kertas alas hendaklah dibuang dan puyuh dibesarkan diatasnya. Bekas minuman masih digunakan dan ditempatkan didalam kotak manakala palung makanan hendaklah digunakan untuk pemberian makanan. Palung makanan hendaklah digantung disebelah luar kotak untuk kemudahan pemberian makanan. Satu petak seluas 1 meter persegi boleh membesarkan sehingga 50 ekor puyuh penelur. Kebanyakan penternak menggunakan kotak kayu bertingkat untuk tujuan pembesaran. Gambarajah 2 menunjukkan contoh kotak pembesaran. Puyuh akan dibesarkan didalam kotak ini sehingga berumur 35 hari. Palung minuman dan makanan digantung diluar kotak. Bilangan puyuh yang boleh ditempatkan didalam satu ketak atau tingkat bergantung kepada ukuran kotak.
Peringkat Pengeluaran
Setelah tamat tempoh pembesaran, puyuh betina akan dipilih dan dipindahkan kebangsal pengeluaran. Pada peringkat umur 21 hari keatas jantina puyuh boleh dikenal mengikut warna bulu didada. Puyuh jantan dikenali dengan warna coklat ( cinnamon ) dibulu bahgian dada dan leher. Puyuh betina kelihatan sama seperti jantan kecuali bulu bahgian dada dan leher berbintik hitam. Puyuh jantan tidak diperlukan dan dijual atau diproses untuk dijual sebagai puyuh proses.
Puyuh betina akan mula bertelur apabila berumur 42 hari keatas. Telur-telur permulaan adalah bersais kecil. Sais telur membesar mengikut umur. Masa bertelur adalah disebelah petang. Sebanyak 75 % telur diperolehi dari waktu 4 – 7 petang dan sebakinya pada waktu malam. Pungutan telur lebih baik dijalankan semasa malam kerana masih segar. Jika tidak, maka kutipan boleh diadakan diwaktu pagi. Gunakan bekas khas untuk telur puyuh semasa pungutan. Jangan gunakan bakul untuk kutipan telur. Telur puyuh mudah retak tetapi susah untuk pecah. Telur-telur puyuh hendaklah disimpan didalam bilik dingin dengan kelembapan yang tinggi. Untuk telur yang segar, telur puyuh hendakalah dijual dengan segera.
Untuk pengeluaran telur yang optimum, puyuh penelur berkehendakkan 17 jam cahaya setiap hari . Dua belas jam adalah dari cahaya matahari dan sebakinya dari cahaya tiruan menggunakan lampu kalimantang. Kadar pengeluaran telur adalah seperti di Lampiran 5. Puyuh diternak selama 40 -50 minggu sebelum disingkirkan dan diganti dengan puyuh penelur baru. Puyuh-puyuh yang disingkir diproses dan dijual sebagai puyuh proses.
Disepanjang pemeliharaan puyuh penelur, puyuh-puyuh yang mati perlu dikeluarkan dan dimusnahkan setiap hari. Makanan dan air diberi setiap hari. Sistem pemberian air menggunakan cawan atau puting ( peralatan ayam ) boleh digunakan untuk pemberian air. Puting atau cawan air ditempatkan dibelakang sangkar. Pemberian makanan menggunakan palong khas dan ditempatkan didepan sangkar. Pemberian makanan dan pungutan telur secara otomatik boleh dilaksanakan. Pembekal peralatan ternakan ayam ada membekalkan peralatan tersebut.
Pengurusan Alam Sekitar
Pengusaha puyuh penelur dinasihatkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang berkaitan dengan peneternakan puyuh penelur. Tentukan najis-najis dibangsal pengeluaran sentiasa dibersihi untuk menggelakan berbau busuk atau pembiakan lalat. Pengurusan najis yang sempurna dapat merendahkan masalah tersebut. Najis-najis dibegkan kedalam guni dan boleh dijual sebagai baja.
Kesihatan
Puyuh pada kebiasaannya mempunyai daya ketahanan terhadap penyakit tetapi ia juga boleh dijangkiti penyakit-penyakit yang biasa terdapat pada unggas yang lain. Penyakit-penyakit puyuh yang spesifik adalah seperti Ulcerative Enterititis dan Quail Bronchitis. Kecederaan kerana sifat pemangsa sejenis, keadaan ‘flighty behaviour’ dan pergaduhan kerana perebutan kedudukan sosial merupakan salah satu sebab utama kematian. Pengusaha adalah dinasihatkan supaya berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk mendapatkan makluman dan panduan keatas penyakit puyuh dari masa ke semasa.
Pengurusan Bahan Buangan Ladang
Ladang puyuh penelur perlu mengamalkan pengurusan yang baik untuk bahan-bahan buangan ladang. Ini adalah penting untuk mengelakkan masalah bau busuk dan lalat. Bahan buangan yang utama adalah sampah sarap dari pemeliharaan semasa pembesaran, najis, dan bangkai puyuh.
Sampah sarap digunakan untuk keselesaan puyuh semasa pemeliharaan dengan mengambil kira keberkesanan menyerap air. Gunakan sampah sarap yang baru setiap kali pemeliharaan puyuh. Ketaman kayu merupakan jenis sarap yang biasa digunakan. Ketaman kayu hendaklah dari kayu yang bersih dan tiada mudarat kepada puyuh. Jangan gunakan ketaman kayu dari kayu yang telah diawet. Tambah ketaman kayu kedalam bangsal apabila diperlukan. Sarap yang basah perlu dikeluarkan dan diganti dengan sarap baru. Setelah tamat pemeliharaan sarap ini hendaklah dimasukkan kedalam guni dan dimusnahkan. Biasanya sarap jenis ini tidak disukai untuk dijadikan baja kerana berkayu.
Najis dari bangsal pengeluaran hendaklah sentiasa dikeluarkan. Najis hendaklah dibegkan dan boleh digunakan sebagai baja. Tentukan penyimpanan yang teratur dan bersih serta kering.
Bangkai puyuh hendaklah dimasukkan kedalam beg dan dimusnahkan samada dibakar atau ditanam. Peraturan alam sekitar perlu dipatuhi.
Penyimpanan Rekod
Menyimpan, menganalisa dan menggunakan rekod adalah penting untuk menentukan kejayaan penternakan puyuh penelur. Perlu diadakan dokumentasi yang teratur akan perancangan kemasukan/penyingkiran, peraturan pengurusan dan perkara-perkara lain. Rekod pengeluaran telur disimpan dan dibanding dengan piawaian pembekal keatas prestasi puyuh tersebut. Segala masalah perlu diselesaikan dengan secepat mungkin bagi mengelakkan kerugian.
Amalan Pengurusan Penternakan Yang Baik
(Good Animal Husbandry Practices – GAHP)
Cara penternakan yang diamalkan sekarang jauh dari yang dikehendaki untuk memenuhi keperluan pelanggan masakini. Penternak harus menitikberatkan sistem pemeliharaan yang disyorkan bagi menjamin kehendak pelanggan ( pengeluaran hasil yang bersih ) dan pulangan keuntungan yang optimum. Mengamalkan GAHP meningkatkan keyakinan keatas kebersihan dan keselamatan makanan dan ini dapat meningkatkan perniagaan luar dan dalam negeri.
Pembersihan Bangsal
Setelah tamat pemeliharaan sekumpulan puyuh maka kebersihan bangsal perlu dijalankan dengan segera. Ini adalah untuk menjamin bangsal bersih dari kekotoran dan kuman serta virus penyakit untuk kumpulan puyuh seterusnya. Program kebersihan bangsal adalah seperti berikut :
- Keluarkan sampah sarap lama/najis
- Keluarkan dan cuci peralatan makanan
- Bersih bekas minuman dan servis bekas minuman otomatik.
- Lakukan semburan racun serangga termasuk kawasan bumbung. Gunakan bancuran mengikut syor dan peraturan pembekal.
- Pembasuhan bangsal dengan menggunakan air. Pengunaan ‘High pressure sprayer’ amat digalakan.
- Lakukan semburan racun pembasmi kuman. Gunakan bancuhan mengikut syor dan peraturan pembekal.
Sekeliling bangsal perlu ditutup dengan ‘polyethelene sheets’ bagi mengelakan kemasukan angin sejuk dari luar. Hanya 3/4 ketinggian tepi bangsal yang perlu ditutup. Ketaman kayu atau bahan setaraf yang boleh menyerap air dan selamat digunakan setebal 7.6 sentimeter hendaklah dialaskan keatas lantai. Kebanyakan peralatan ternakan puyuh adalah sama dengan peralatan ternakan ayam . Bulatan untuk perindukan 1000 ekor anak puyuh serta peralatan perindukan hendaklah disediakan sebelum ketibaan anak puyuh.
Bagi sistem menggunakan kotak khas, sekeliling bangsal perlu juga ditutup. Gunakan kertas dari jenis ‘ corrugated paper ‘ untuk dijadikan alas lantai didalam kotak. Tempatkan lebihkurang 100 ekor anak puyuh untuk perindukan bagi setiap petak. Sediakan air dan makanan sebelum kemasukan anak puyuh.
Perindukan
Anak puyuh perlu dimasukkan kedalam bangsal sebaik sahaja sampai di ladang. Penangguhan akan menyebabkan anak puyuh menjadi lemah dan mengakibatkan kematian yang tinggi. Pengurusan perindukan amatlah penting kerana kegagalan memenuhi kehendak anak puyuh mengakibatkan peratus kematian yang tinggi dan kadar pembesaran yang terencat. Perindukan adalah pemeliharaan anak puyuh dengan menjaga keperluan suhu dan peredaran serta pengudaraan yang sempurna. Keperluan suhu yang sesuai adalah 35 – 36 C pada 3 hari pertama. Selepas itu suhu didalam bilik boleh dikurangkan mengikut keadaan hari. Pemberian haba tamat pada hari ke 10. Pengurusan yang paling baik adalah dengan mengikut keperluan anak puyuh dan keadaan cuaca pada hari berkenaan. Suhu yang rendah mengakibatkan kematian puyuh kerana bertindih. Manakala suhu yang terlalu tinggi akan menyebabkan kematian kerana tekanan kepanasan. Tempoh perindukan adalah 10 ke 14 hari. Air bersih hendaklah diberikan setiap hari. Guli-guli kaca ditempatkan didalam bekas minuman bagi mengelakkan anak puyuh mati lemas. Bekas minuman dan guli-guli perlu dibersihkan setiap hari. Pemberian makanan dilakukan setiap hari. Tentukan jumlah makanan yang diisikan kedalam bekas mencukupi dan tidak membazir. Tentukan hanya makanan yang bersih diberikan. Anak-anak puyuh yang mati mesti dikeluarkan setiap hari dan dibuang. Pemberian antibiotik boleh diberikan mengikut keadaan. Pengusaha dinasihatkan berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk mendapatkan nasihat penggunaan ubatan.
Pembesaran
Bagi sistem pemeliharaan diatas sampah sarap, selepas sahaja perindukan, kepongan dibuka dan puyuh dibiarkan membesar diatas lantai sampah sarap. Sampah sarap setebal 7.62-12.7 sentimeter perlu diberikan di kawasan pemeliharaan. Gunakan bekas minuman otomatik kepada puyuh. Tentukan paras bekas minuman rendah dan dapat diminum oleh semua puyuh. Paras air didalam takongan bekas minuman otomatik perlu juga keparas yang dapat diminum oleh puyuh. Bekas minuman perlu dicuci selalu. Pemberian air bersih hendaklah diberikan untuk menjaga kesihatan puyuh. Bekas makanan gantung digunakan selepas perindukan dengan kadar satu bekas untuk sekurangnya 200 ekor puyuh. Jumlah makanan yang diisi tidak perlu penuh kerana jumlah tabongan makanan didalamnya adalah besar. Adalah penting makanan yang segar diberi setiap hari. Gantungkan bekas makanan keparas yang dapat dimakan puyuh.
Bagi pemeliharaan didalam kotak khas, selepas perindukan, tutupan diatas kotak perlu dibuka. Alas kertas hendaklah dibuang dan puyuh dipelihara diatas lantai kotak. Air minuman disyorkan dengan menggunakan bekas minuman air untuk 100 ekor (satu petak). Palung makanan hendaklah digantung disebelah luar untuk kemudahan pemberian makanan.
Pengurusan Lain
Puyuh yang mati perlu dikeluarkan setiap hari dan dimusnahkan. Elakkan gangguan dari ternakan lain dikawasan penternakan puyuh dan kemasukan orang yang tidak berkenaan ke dalam bangsal.
Membenteras penyakit yang paling berkesan adalah dengan pengawalan. Menjaga kebersihan kawasan dan bangsal perlu sentiasa diberi tumpuan. Jika berlaku penyakit, pengusaha dinasihatkan untuk berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan atau Doktor Veterinar untuk mendapatkan nasihat. Apabila menggunakan ubatan, pemberian hendaklah mengikut kadar yang disyorkan. Pengusaha perlu menjaga keperluan kegunaan ubatan termasuk ‘withdrawal period’ sebelum puyuh diproses.
Penangkapan Puyuh untuk Dipindahkan.
Apabila puyuh berumur 35 hari, aktiviti memindahkan puyuh kebangsal pengeluaran hendaklah dijalankan. Puyuh-puyuh betina dipilih dan dimasukkan kedalam bakul untuk dipindahkan ke bangsal pengeluaran. Muatkan secukupnya puyuh penelur dan elakkan berlaku kesesakan didalam bakul. Puyuh-puyuh perlu dipindahkan dengan segera ke bangsal pengeluaran. Tentukan penangkapan puyuh dari bangsal kedalam bakul dan dari dalam bakul kedalam sangkar khas dilakukan dengan cermat dan elakkan berlaku kecederaan. Masukkan puyuh kedalam sangkar dengan memasukkan kepala dahulu. Jangan memaksa semasa menempatkan puyuh kedalam sangkar. Kadar kematian yang tinggi boleh berlaku selepas penempatan puyuh ke dalam sangkar. Tentukan air dan makanan disediakan dahulu sebelum kemasukan puyuh.
Kutipan Telur
Telur hendaklah dikutip setiap hari. Gunakan bekas telur khas untuk telur puyuh. Asingkan telur bersih dari telur kotor,retak dan pecah. Kebersihan perlu dijaga untuk kesemua peralatan yang terlibat dengan telur. Pengendalian telur dengan cermat mengelakkan berlakunya kerosakan telur yang merugikan.
Telur-telur puyuh hendaklah disimpan didalam bilik khas yang dingin dengan kelembapan yang tinggi. Mutu telur akan berkurangan dengan setiap hari ianya disimpan. Penjualan segera menentukan kualiti telur yang tinggi. Bilik simpanan telur hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersih. Telur-telur yang pecah,retak dan kotor disimpan dibilik berasingan atau dimusnahkan.
Penjualan Telur
Telur-telur puyuh dijual tanpa gred. Justeru itu tiada pengredan diperlukan dan telur-telur boleh dijual terus. Gunakan ‘packing’ yang sesuai untuk menarik minat pembeli. Semasa penghantaran telur, elakkan dari pengendalian yang kasar untuk mengelakkan berlakunya telur pecah. Jangan ditindih bekas-bekas telur keparas yang tinggi. Jika boleh jangan lebih 12 tray telur.
Pemasaran
Telur puyuh banyak dijual di pasar , pasar malam dan pasar tani. Sebahgian pasaraya telah mula menjual komoditi ini. Pengambilan telur puyuh oleh rakyat negara ini masih ditahap yang rendah. Pengguna banyak menganggap bahawa telur puyuh mengandungi kolesterol yang tinggi. Kandungan kolesterol didalam 4 biji telur puyuh bersamaan dengan sebiji telur ayam. Jumlah pengambilan telur puyuh berpotensi tinggi kerana pengguna biasanya memakan lebih dari satu biji dalam satu masa. Dengan pendedahan yang luas penggunaan telur puyuh akan mendapat tempat di selera pengguna.
Telur dijual tanpa gred dan kebanyakannya dibungkus biasa dengan satu bungkusan melebihi 10 biji. Harga pasaran amatlah murah bagi sebiji . Rajah 4 menunjukkan pemasaran yang dijalankan mengikut negeri. Dengan harga yang ditawarkan dipasaran boleh dibeli oleh segenap lapisan masyarakat maka potensi industri puyuh penelur akan dapat dikembangkan lagi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar